Portal Cikgu M
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.


Berusaha menjadi antara yg terbaik...
 
HomeLatest imagesSearchRegisterLog in
PERHATIAN
Daftarlah sekarang... percuma, mudah & cepat... utk melihat semua ruangan...
Who is online?
In total there are 2 users online :: 0 Registered, 0 Hidden and 2 Guests

None

Most users ever online was 105 on Fri Apr 09, 2021 2:03 pm
Latest topics
» Perkongsian Pembelajaran Bahasa Melayu Tahun 4
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Mon Apr 13, 2020 10:33 am

» KONSEP MUZIK
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Thu Oct 17, 2013 12:01 pm

» bagaimanakah cara nak tukar not nombor kepada not biasa??
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Sat Oct 12, 2013 3:10 pm

» Ranking Portal Cikgu M
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Sat May 18, 2013 2:46 pm

» CONTOH SOALAN MEMINDAHKAN MAKLUMAT(BHG. A)
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Thu May 09, 2013 8:21 am

» Ingin tinggalkan mesej?
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Fri Apr 26, 2013 4:51 am

» CIRI-CIRI PENSKORAN KERTAS 012 PENULISAN BAHAGIAN A
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Sun Nov 11, 2012 12:44 pm

» TIP PEMERIKSA
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Sun Nov 11, 2012 12:26 pm

» PANDUAN MEMINDAHKAN MAKLUMAT
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Sun Nov 11, 2012 12:23 pm

» Zoltan Kodaly
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Tue Sep 11, 2012 5:02 am

» TOKOH MUZIK
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Tue Sep 11, 2012 4:24 am

» SKEL MINOR
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Tue Sep 11, 2012 4:07 am

» LATIHAN KOIR
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Tue Sep 11, 2012 3:58 am

» PEPERIKSAAN UPSR BERMULA HARI INI
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Tue Sep 11, 2012 1:16 am

» SKEL MAJOR
Soalan Psikologi Pendidikan Emptyby Admin1 Mon Sep 10, 2012 10:19 am

Pautan Berguna
Forum Mari Belajar (FMB)
JPN SABAH
KPM
SPP
e-Penyata Gaji
e-HASIL
PCgM Shoutbox



 

 Soalan Psikologi Pendidikan

Go down 
AuthorMessage
Admin1




Posts : 683
Join date : 2011-09-23

Soalan Psikologi Pendidikan Empty
PostSubject: Soalan Psikologi Pendidikan   Soalan Psikologi Pendidikan EmptyMon Sep 10, 2012 8:56 am

Soalan 1
Berdasarkan pengalaman anda sebagai seorang guru, terangkan mengapa pentingnya seseorang guru mempelajari psikologi.
Bincangkan implikasi psikologi pendidikan dalam bilik darjah anda. Beri contoh-contoh yang sesuai untuk menyokong jawapan anda. (1 jam)

Perkataan ‘psikologi’ adalah gabungan perkataan Greek (psyche) yang bermaksud minda dan (logos) bermaksud kajian, dengan itu psikologi membawa maksud “ kajian minda “ dan turut didefinisikan sebagai sains tingkah laku. Menurut Baron (1989) psikologi didefinisikan sebagai kajian saintifik tingkah laku manusia dan proses mental. Manakala Crow dan Crow pula mentakrifkan psikologi sebagai kajian tentang tingkah laku dan perhubungan manusia. Tingkah laku ini bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku seseorang individu yang boleh dilihat tetapi merangkumi juga tindak balasnya terhadap pengaruh batin serta pengaruh persekitaran. Kesimpulannya, psikologi ialah kajian saintifik tingkah laku manusia dan proses mental. Contohnya, mengkaji kaitan tahap motivasi murid dengan pencapaian akademik mereka.

Kegunaan psikologi adalah banyak. Jika seseorang ingin membina hubungan yang baik dengan rakan-rakan, dia perlu memahami tingkah laku mereka. Jika kita ingin membantu kanak-kanakyang mengalami perkembangan optimum dari segi fizikal, rohani dan mental, dia perlu memperoleh ilmu pengetahuan psikologi. Kepentingan psikologi memang tidak dapat dinafikan lagi kerana ia merupakan kajian sains yang melibatkan aplikasi prosedur dan pendekatan saintifik dalam memahami tingkah laku manusia. Antara kepentingan psikologi kepada seseorang guru ialah :
i) Memahami tingkah laku murid agar persefahaman dan perhubungan yang baik antara guru dan pelajar dapat dicapai. Guru yang memahami tingkah laku pelajar cenderung berempati (daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain) dengan mereka dan dengan itu perhubungan guru-murid akan bertambah baik.

ii) Merancang aktiviti yang dapat membentuk tingkah laku yang diingini dengan memberi bimbingan yang sewajarnya. Contohnya, seseorang individu yang berpengetahuan tentang modifikasi tingkah laku lebih berupaya membimbing atau memperbaik tingkah laku seseorang lain mengikut harapan masyarakat.

iii) Menilai tingkah laku pelajar dalam sesuatu masyarakat. Contohnya, dengan pengetahuan psikologi, guru lebih berupaya untuk menilai tingkah laku seseorang pelajar secara tepat dan berlandaskan kriteria tertentu.

iv) Memahami perbezaan individu dari segi fizikal, mental dan emosi. Pemahaman seperti ini amat penting terutamanya kepada guru agar dia dapat memberi layanan yang sewajarnya kepada pelajar.

Implikasi psikologi pendidikan dalam bilik darjah banyak memberi kepentingan kepada seseorang guru. Antara implikasi atau kepentingannya ialah :
i) Psikologi pendidikan dapat membekalkan guru dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang berguna dalam pendidikan. Dengan ini seseorang guru dapat meningkatkan pengajarannya serta pembelajaran murid-murid.

ii) Melalui psikologi pendidikan, minat dan bakat murid dapat dikesan. Guru dapat membantu murid membuat perancangan kerjaya masing-masing. Situasi ini dapat dikesan melalui gerak kerja berkumpulan.

iii) Psikologi pendidikan dapat menyediakan pengetahuan tentang keperluan murid. Dengan pemahaman seperti ini, guru dan pentadbir sekolah dapat memberikan layanan yang sewajarnya kepada murid-murid.

iv) Psikologi pendidikan membolehkan seseorang guru meramal serta mengawal tingkah laku murid-murid.

v) Psikologi pendidikan membantu guru bimbingan memahami masalah peribadi serta masalah pembelajaran murid-murid. Contohnya adakan sesi kaunseling untuk mengenal pasti punca permasalahan murid.

Daripada huraian tentang kepentingan psikologi dan implikasi psikologi pendidikan, jelas kepada kita bahawa pertalian antara kedua-dua tersebut begitu rapat kerana kedua-dua perkara tersebut dapat memberi panduan dan pengetahuan kepada para guru.
Back to top Go down
Admin1




Posts : 683
Join date : 2011-09-23

Soalan Psikologi Pendidikan Empty
PostSubject: Re: Soalan Psikologi Pendidikan   Soalan Psikologi Pendidikan EmptyMon Sep 10, 2012 9:03 am

Soalan 2
Pada pendapat anda, bagaimana anda dapat membantu murid anda mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang optimum? Asaskan perbincangan anda pada tajuk-tajuk berikut :

  • Teori-teori perkembangan manusia

  • Potensi manusia

  • Motivasi

  • Perbezaan individu

(2 jam)

  • Teori-teori perkembangan manusia

Pertumbuhan ialah suatu proses perubahan yang bersifat kuantitatif. Ia merangkumi perubahan dari segi saiz, tinggi dan berat badan. Perubahan-perubahan tersebut mudah dilihat serta diukur.
Manakala perkembangan pula membawa maksud perubahan kuantitatif dan kualitatif yang berlaku secara berterusan terhadap manusia dari janin hingga mati. Perubahan ini sukar diukur tetapi dapat dilihat.
Berdasarkan teori-teori yang dapat diperkenalkan oleh pakar-pakar psikologi yang terdiri daripada Arnold Gesell, Robert Havighurst, dan Jean Piaget, pengetahuan tentang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak banyak membawa banyak faedah kepada guru untuk membantu murid supaya mencapai pertumbuhan dan perkembangan optimum dengan cara :
i) Menyediakan isi pelajaran yang sejajar dengan keupayaan mental murid contohnya, lembaaran kerja diagihkan mengikut keupayaan murid di dalam kelas.
ii) Menyediakan objektif yang sesuai arasnya. Contohnya ojektif yang perlu dibuat oleh guru mesti bersesuaian dengan tahap penerimaan murid. Murid yang lemah objektif yang disasarkan mestilah lebih rendah berbanding dengan murid yang lebih pintar.
iii) Menyediakan pelajaran bermula daripada yang senang kepada yang susah, konkrit kepada abstrak, umum kepada khusus dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran murid agar objektif tercapai.
iv) Menggunakan strategi pengajaran-pembelajaran yang secocok dengan perkembangan mental, jasmani dan emosi murid.
v) Memotivasikan murid dengan pelajaran yang menarik serta bermakna.

  • Potensi manusia

Setiap kanak-kanak ada potensi untuk berjaya dalam kehidupan. Terdapat banyak cara untuk melihat potensi yang ada pada kanak-kanak. Satu criteria untuk mengkaji potensi kanak-kanak adalah melalui kecerdasan.
Menurut Howard Gardner, kecerdasan terbahagi kepada 8 jenis iaitu :
i) Verbal / linguistic iaitu kebolehan penguasaan, pembentukan dan memproses bahasa.
ii) Logikal / matematikal iaitu kebolehan berfikir secara logical, induktif dan ke satu tahap deduktif, mutlak, mengenal corak gometri dan juga corak numerikal, dan boleh mengamati konsep abstrak.
iii) Spatial iaitu kebolehan mengesan imej.
iv) Muzikal iaitu kebolehan menghasilkan atau menghayati muzik.
v) Kinestatik iaitu anugerah pergerakan badan, sama ada sistem otot kasar atau otot halus.
vi) Interpersonal iaitu berkaitan dengan kebolehan untuk memahami dan berkomunikasi dengan orang lain serta untuk memudahkan hubungan dan proses kumpulan.
vii) Intrapersonal iaitu berkaitan dengan kebolehan untuk agak melindungi daripada rakan sebaya, mempunyai rasa kendiri yang kuat, mempunyai kebolehan kepimpinan merujuk kepada hal yang membuat keputusan yang barangkali tidak digemari oleh orang lain.
viii) Naturalis iaitu kebolehan untuk memerhati corak dalam alam semula jadi dan memahami alam semula jadi dan sistem buatan manusia.
Terdapat beberapa cara untuk guru membantu murid supaya mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang optimum melalui konsep ini iaitu :
a) Verbal / Linguistik : Guru boleh
i) membaca kepada murid dan biarkan mereka membaca kepada guru
ii) membincangkan pengarang buku bersama kanak-kanak
iii) membuatkan kanak-kanak merumus dan bercerita semula yang telah dibaca.
b) Logikal-matematikal : Guru boleh
i) bermain dengan kanak-kanak permainan logik
ii) sentiasa menuggu untuk situasi yang boleh merangsangkan kanak-kanak untuk berfikir dan membina pemahaman tentang nombor.
c) Ruang (Spatial) : Guru boleh
i) mempunyai pelbagai bahan kreatif untuk digunakan oleh kanak-kanak.
ii) membuatkan kanak-kanak menyelesaikan teka silang kata dan mencipta carta.
d) Muzikal : Guru boleh
i) memberi kanak-kanak peluang untuk bermain dengan alat-alat muzik
ii) menggalakkan kanak-kanak untuk mencipta lagu mereka
e) Tubuh / Kinestatik : Guru boleh
i) membawa kanak-kanak ke acara-acara sukan dan ballet
ii) menggalakkan kanak-kanak menyertai aktiviti tarian
f) Interpersonal : Guru boleh
i) menggalakkan kanak-kanak bekerja dalam kumpulan
ii) menggalakkan kanak-kanak menyertai persatuan
g) Intrapersonal : Guru boleh
i) menggalakkan kanak-kanak mempunyai hobi dan kegemaran
iii) menggalakkan kanak-kanak menggunakan imaginasi mereka
h) Naturalis : Guru boleh
i) membawa kanak-kanak ke muzium sains semula jadi
ii) mewujudkan pusat pembelajaran semula jadi di bilik darjah

  • Motivasi

Motivasi merupakan kecenderungan seseorang untuk menjalankan aktiviti yang dirangsangkan oleh sesuatu insentif. Motivasi ialah minat murid dalam tugas-tugas akademik dan bahan-bahan pembelajaran akademik.
Motivasi terbahagi kepada 2 jenis iaitu motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Motivasi ekstrinsik diasaskan oleh ahli-ahli behavouris dan melibatkan insentif luaran seperti memberi ganjaran dan denda. Misainya, seorang murid belajar bertungkus-lumus kerana dia mahu memperoleh gred baik atau mahu mengelakkan daripada didenda oleh ibu bapanya.
Manakala motivasi intrinsic pula diasaskan oleh mazhab kognitif yang menekankan faktor-faktor seperti azam diri, rasa ingin tahu, cabaran, dan usaha. Ia berdasarkan andaian bahawa persepsi dan pemikiran kita tentang aktiviti atau peristiwa atau sumber-sumber intrinsik, mempengaruhi cara kita memberi respons.
Terdapat beberapa cara untuk guru meningkatkan motivasi murid-murid iaitu :
a) Suasana pengajaran dan pembelajaran
Guru-guru harus menyediakan suasana yang kaya dan kondusif bagi murid-murid untuk pembelajaran mereka. Harus terdapat pelbagai jenis sumber supaya mereka dimotivasikan untuk belajar.
b) Pembelajaran koperatif dan kolaboratif
Murid yang bekerjasama akan meningkatkan tahap motivasi kerana keperluan sosial, emosi murid serta keperluan akademik mereka diambil kira. Strategi ini akan membantu murid berkembang sebagai suatu kumpulan.
c) Pengukuhan semula
Pengukuhan positif atau negatif boleh digunakan untuk memotivasikan murid untuk belajar. Misalnya, tugasan-tugasan baik murid boleh dipamerkan di dalam bilik darjah untuk menggalakkan murid lain melakukan tugasan yang baik.

  • Perbezaan individu

Perbezaan individu merujuk kepada ketidaksamaan di kalangan individu-individu sama ada dari segi fizikal (seperti tinggi dan berat tubuh badan), mental, sosial dan emosi.
Bagi menghadapi perbezaan individu kanak-kanak, guru boleh mengambil langkah-langkah berikut :
a) Cuba memahami perbezaan-perbezaan itu, menerimanya, berempati dengan pelajar itu serta berusaha untuk membantu mereka.
b) Pelbagaikan isi pelajaran agar pelajar yang berbeza dari segi kognitif dapat faedah dari satu-satu pelajaran itu.
c) Mengumpulkan murid mengikut pencapaian mereka,iaitu kumpulan A,B dan C. Guru boleh memberi bimbingan yang lebih kepada murid lemah di dalam kumpulan C manakala muridr yang cerdas dalam kumpulan A boleh digalakkan membantu murid yang sederhana pencapaiannya di dalam kumpulan B.
d) Pelbagaikan strategi pengajaran agar sesuai dengan kebolehan murid yang berbeza itu.
e) Alat bantu mengajar hendaklah juga dipelbagaikan agar murid yang berbeza dari segi kebolehan atau minat mendapat faedah daripadanya.
f) Aktiviti-aktiviti pembelajaran hendaklah sejajar dengan kebolehan dan minat murid. Aktiviti yang terlalu sukar akan membosankan mereka yang lemah, manakala yang terlalu senang tidak pula mencabar bagi yang cerdas.
g) Aktiviti pemulihan hendaklah dikendalikan untuk murid yang lemah. Sebaliknya, aktiviti pengayaan hendaklah disediakan untuk murid yang cerdas dan yang telah selesai menyempurnakan satu-satu unit pembelajaran.
h) Perhatian dan layanan individu hendaklah diberi kepada amat lemah. Layanan seperti ini meningkatkan keyakinan dan harapan murid berkenaan
Back to top Go down
Admin1




Posts : 683
Join date : 2011-09-23

Soalan Psikologi Pendidikan Empty
PostSubject: Re: Soalan Psikologi Pendidikan   Soalan Psikologi Pendidikan EmptyMon Sep 10, 2012 9:23 am

Soalan 3
Kenalpasti seorang murid anda yang bersifat ekstrovert dan seorang lagi yang bersifat introvert.
Jelaskan dengan contoh-contoh yang sesuai, bagaimana anda dapat meningkatkan cirri-ciri positif kedua-dua personaliti ini.

Ekstrovert membawa maksud orang berminat terhadap hal yang berlaku di sekitanya (di luar dirinya), dan tidak mengikut emosi serta suka bergaul dengan orang lain dan mereka berfikran terbuka. Manakala introvert pula membawa maksud orang yang lebih suka memusatkan perhatiannya kepada fikiran dan perasaanya sendiri.
Ciri-ciri ekstrovert :
i) gemar bercampur gaul
ii) suka aktiviti luar
iii) mudah bercakap
i) mudah bertindak balas
ii) bersifat agak relaks
iii) tidak mudah tersinggung perasaan
iv) berupaya memimpin
v) tidak mudah berasa bimbang
vi) optimis dan sentiasa sukakan ‘excitement’

Ciri-ciri introvert :
i) suka menyendiri (berseorangan) menfokus terhadap dirinya.
ii) sukakan aktiviti solo contohnya melukis dan berpuisi.
iii) Pemalu
iv) Sensitif
v) Cermat
vi) Reflektif atau sentiasa berfikir dahulu sebelum menjalankan sesuatu.
vii) Mempunyai pandangan hidup yang pesimistik (mudah putus asa).
viii) Kurang bersedia untuk menanggung risiko.

Cara-cara untuk meningkatkan atau membantu kedua-dua personaliti ini ialah :
a) Libatkan dia dalam aktiviti yang mudah di mana dia akan dapat menikmati perasaan berjaya. Contohnya memberi soalan kuiz yang lebih mudah atau mengikut kemampuannya,dengan cara begini memberi mereka perasaan dilibatkan.
b) Pastikan isi pelajaran dan latihan adalah setimpal dengan kebolehannya. Ini akan meningkatkan keyakinan dirinya.
c) Hentikan segala gelaran negatif seperti ‘bodoh’ ‘pelajar tidak berguna dan sebagainya kerana boleh merendahkan motivasi dirinya.
d) Libatkan dia dalam aktiviti kumpulan contohnya,jadikandia seorang ketua di mana dia terpaksa berinteraksi dengan ahli-ahli kumpulannya.
e) Adakan sesi kaunseling untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan dia seorang introvert.
f) Adakan latihan-latihan tegas diri untuk introvert agar dia dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
g) Galakkan dia menyertai aktiviti-aktiviti kelab sukan, permainan atau unit beruniform di mana dia berpeluang berinteraksi dengan orang lain.
h) Bantu dia meningkatkan harga diri atau konsep kendirinya. Harga diri positif akan membantu seorang introvert menjadi lebih optimistik pandangan hidupnya serta lebih mudah bercampur gaul dengan orang lain.

Berdasarkan pemerhatian dalam bilik darjah, bincangkan pelbagai mekanisme helah bela diri yang digunakan oleh murid-murid anda yang mempunyai
i) konsep kendiri positif
ii) konsep kendiri negatif
Beri sebab-sebab bagi tindakan mereka.
Freud mendefinisikan helah bela diri merupakan satu strategi mental yang digunakan oleh seseorang untuk membela dirinya daripada ancaman id serta tekanan superego.
Helah bela diri mempunyai dua ciri iaitu :
i) ia berfungsi pada tahap di bawah sedar
ii) ia mengubah, menidak dan memalsukan persepsi realiti dengan tujuan untuk mengurangkan kadar ancaman pada seseorang individu.

Seseorang yang mempunyai konsep kendiri positif ialah mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan orang lain serta persekitaran dengan baik. Manakala seseorang yang mempunyai konsep kendiri negatif adalah mereka yang mempunyai masalah menerima dirinya sendiri serta tidak boleh menyesuaikan diri dengan orang lain dan persekitaran denggan baik.

Terdapat pelbagai mekanisme atau jenis helah bela diri yang sering digunakan oleh murid-murid yang mempunyai konsep kendiri positif dan konsep kendiri negative iaitu :
a) Represi
Represi ialah satu proses mental yang aktif di mana seseorang sengaja melupakan peristiwa yang pahit dengan menolaknya ke kawasan tak sedar otak kita. Represi menghalang pemikiran yang membimbangkan daripada memasuki pemikiran sedar manusia. Ia digunakan oleh ego yang membolehkan helah bela diri psikologi berlaku. Represi membantu manusia menghadapi masalah harian. Namun begitu, represi tidak mampu menghapuskan memori yang tidak diingini dari ingatan manusia teapi sebaliknya ia akan menjurus kepada masalah psikologi yang lebih serius.

b) Rasionalisasi
Ia merupakan jenis helah bela diri yang berlaku apabila seseorang individu cuba menipu diri dengan tujuan menjaga harga dirinya. Ia merupakan satu alas an atau penjelasan mengapa satu-satu situasi itu tidak dapat diterima. Contohnya, guru pelatih gagal dalam latihan mengajar. Dia menyalahkan pensyarah dan tidak mahu menerima kelemahan diri.

c) Projeksi
Projeksi ialah tindakan di bawah sedar yang membalikkan konflik dalam dirinya seperti perasaan, pemikiran dan tujuan kepada orang lain. Ia berlaku apabila seseorang itu melindungi harga dirinya daripada mengakui kualiti-kualiti yang tidak diingini dengan cara menagihkan kualiti tersebut kepada orang lain. Contohnya, pelajar lemah bercadang untuk menipu dalam peperiksaan tetapi hati kecilnya mengetahui perbuatan itu salah. Tetapi dia ingin cuba kerana dia mengesyaki pelajar-pelajar lain juga menipu walhal tidak. Dia sedang melakukan projeksi.

d) Pemindahan
Ia digunakan apabila sesuatu perkara yang dapat memuaskan diri tidak dapat diperolehi atau sesuatu perkara itu akan menimbulkan perasaan tidak senang. Oleh itu, perhatian manusia akan dipindahkan ke sasaran lain. Manusia sering mengubah perhatian daripada situasi yang mengancam kepada situasi yang lebih menyenangkan. Contohnya, sekiranya kita marah kepada ketua kita tetapi kita tidak dapat meluahkan perasaan marah itu. Sebaliknya perasaan itu dilepaskan kepada anak kita.

e) Regresi
Regresi berlaku apabila seseorang kembali kepada jenis tingkah laku yang menjadi kebiasaan di peringkat perkembangan yang terdahulu daripada peringkat kini. Dengan kata lain, individu yang mengamalkan regresi sebenarnyamengundur ke masa lalu. Contohnya, kanak-kanak 10 tahun, mula menangis, menggigit kuku, atau menjerit
apabila tidak diterima oleh rakan-rakannya. Amalan-amalan ini adalah amalan yang pernah dilakukan ketika umur mereka 4 hingga 6 tahun.

f) Intelektualisasi
Intelektualisasi ialah helah bela diri memendam emosi yang tidak menyenangkan dengan menghuraikan satu-satu situasi menggunakan penaakulan. Kadangkala, manusia mengasingkan komponen emosi dalam proses ini. Mereka ini sering mewujudkan jurang dalam hubungan interpersonal mereka. Contohnya, kaunselor tidak boleh memberi kaunseling kepada kliennya kerana emosinya mempengaruhi dirinya ketika mendengar kisah sedih klien. Dia seharusnya menggunakan perkataan bukan perasaan untuk menjelaskan klien agar klien berada di tahap yang stabil.

g) Penafian
Penafian ialah menafikan perkara yang tidak ingin dipercayainya. Ini bagi membolehkan mereka dapat menempuh detik-detik sukar. Contohnya, apabila pesakit tidak dapat menerima kenyataan apabila diberitahu doktor bahawa dia menghidap penyakit barah. Dia cuba menyatakan diagnosis doktor itu salah.

h) Sublimasi
Sublimasi adalah strategi helah bela diri yang boleh memberi kebaikan atau pun keuntungan. Ini adakalanya digunakan sepanjang hayat apabila menyedari diri tidak mendapat apa yang diingini. Contohnya, seseorang ingin hilangkan perasaan sunyi, dia akan cuba mengisi masa lapangnya itu dengan mengubah puisi, pantun dan sebagainya.

i) Identifikasi
Identifikasi ialah apabila seseorang cuba membuat penyesuaian dengan menyifatkan dirinya seperti orang yang diminatinya. Helah bela diri ini digunakan secara tidak sedar untuk melindungi diri sendiri dan menaikkan harga diri. Contohnya, kanak-kanak tahun 1 menggunakan identifikasi apabila dia menyatakan kepada rakannya” Ayah saya kaya. Dia ada kereta Mercedes. Ayah saya lebih baik daripada ayah kamu”.

Antara sebab-sebab bagi tindakan mereka ialah:
j) untuk memberikan masa untuk seseorang menilai tentang cara menyelesaikan masalah.
ii) ia menambahkan kemahiran hidup kita. Kita dapt mengurangkan sedikit perasaan kebimbangan.
iii) sesetengah helah bela diri seperti sublimalimasi dan rasionalisasi menjadikan diri kita lebih kreatif.
iv) helah bela diri dapat mententeramkan jiwa seseorang secara langsung sebelum individu berkenaan dapat berjumpa dengan kaunselor yang boleh membantunya.
Back to top Go down
Admin1




Posts : 683
Join date : 2011-09-23

Soalan Psikologi Pendidikan Empty
PostSubject: Re: Soalan Psikologi Pendidikan   Soalan Psikologi Pendidikan EmptyMon Sep 10, 2012 9:33 am

SOALAN 4
Keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah bergantung kepada kualiti pengurusan bilik darjah. Bincangkan pernyataan ini berasaskan pengalaman mengajar anda dengan memberi contoh-contoh yang sesuai.

Pengurusan bilik darjah didefinisikan sebagai tindakan dan strategi yang digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Ia merupakan proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, serta galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif serta berkesan dalam menghadapi tingkah laku murid.d di sini guru merupakan pengurus bilik darjah.

Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran sebab ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.
Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Tempat duduk perlu disusun,papan kenyataan dihias dan karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu dipasang. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum. Seorang guru harus sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid mereka. Mereka juga terpaksa mengurus dan memproses sebahagian besar kerja-kerja perkeranian contohnya memberi gred kertas ujian murid, menanda tugasan mereka, memasukkan keputusan peperiksaan dalam buku kemajuan mereka, menanda kehadiran harian dan kerja-kerja yang lain.

Bagi memainkan peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami kesukaran situasi bilik darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sihat. Terdapat beberapa faktor-faktor yang menyumbang kepada suasana tersebut. Antaranya termasuklah:

i) Faktor fizikal
Persekitaran fizikal bilik darjah perlu menarik kerana ia merupakan kondusif untuk pembelajaran. Guru perlu memastikan lampu dan kipas berfungsi dan peredaran udara dalam bilik darjah berada dalam keadaan baik. Susunan tempat duduk haruslah menghala kepada papan tulis. Almari, bakul sampah dan lain-lain hendaklah diletakkan di bahagian belakang agar tidak mengganggu proses pembelajaran.

ii) Faktor sosial
Guru perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka kjika mahu menjawab sebarang pertanyaan.

iii) Faktor emosi
Guru perlulah mempamerkan gaya kepimpinan yang berkesan agar murid berasa seronok untuk belajar. Kepimpinan autoritarian adalah tidak sesuai kerana ia menekan kepada ganjaran dan hukuman serta cuba mendesak hormat dari murid. Ini menyebabkan guru tersebut mewujudkan suasana pembelajaran yang tertekan, yang tidak kondusif untuk pembelajaran yang sihat.

Guru perlulah bersifat kepimpinan demokratik. Guru tersebut akan berfungsi tanggungjawabnya dengan murid. Terdapat saling hormat dan percaya antara guru dan murid. Guru perlulah mengamalkan sifat mesra, mengambil berat dan pada masa sama tegas. Di samping itu, guru hendaklah sentiasa memberi motivasi kepada muridnya agar mereka lebih giat berusaha memajukan diri mereka. Tingkah laku yang baik perlu ditonjolkan bagi membina suasana yang positif. Tidak lupa juga, peneguhan dilakukan terhadap murid contohnya memberi pujian kepada murid di atas hasil kerja mereka yang baik atau pun memberi hadiah kepada murid yang cemerlang dalam peperiksaan. Peneguhan dilakukan agar menggalakkan murid berusaha untuk menghasilkan kerja yang baik.
Back to top Go down
Sponsored content





Soalan Psikologi Pendidikan Empty
PostSubject: Re: Soalan Psikologi Pendidikan   Soalan Psikologi Pendidikan Empty

Back to top Go down
 
Soalan Psikologi Pendidikan
Back to top 
Page 1 of 1
 Similar topics
-
» MATLAMAT PENDIDIKAN MUZIK
» OBJEKTIF PENDIDIKAN MUZIK
» Hala Tuju Pendidikan 2010—2012
» CONTOH SOALAN KERTAS 2 BAHAGIAN A
» Soalan Muzik KBSR Tahun 4

Permissions in this forum:You cannot reply to topics in this forum
Portal Cikgu M :: TOPIK-TOPIK LAIN :: Topik Lain-
Jump to: